Maha Besar dan Maha Suci Tuhan yang menjadikan di dalam diri manusia
ada empat anasir yang berfungsi dan berperanan
Jasad, roh, nafsu dan akal yang merupakan satu pakej kejadian manusia
yang luar biasa dan berperanan
Keempat-empat anasir itulah yang bertindak bekerjasama satu sama lain
menggerakkan manusia di dalam kehidupan
Sama ada manusia sedar atau tidak sedar
begitulah diri manusia itu bertindak di waktu hidupnya
Kalau semua anasir itu sihat dan sama-sama dewasa dan matang
ia akan jadi manusia luar biasa, tetapi jarang berlaku
Peranannya sangat mengkagumkan, beruntunglah kalau satu bangsa itu
ada rakyatnya begitu, bukan sahaja individunya beruntung
Mari kita mengenal manusia lahir dan batinnya
Agar kita kenal diri kita dan kenal juga orang lain
dan mengenal watak dan sikap manusia untuk pandai mendidiknya
Jasad lahir tidak perlu diperkata kerana mudah manusia mengenalnya
Kita akan perkatakan tiga anasir yang penting sahaja
kerana susah difaham oleh manusia yang ramai
Tugas roh hanya merasa:
Seperti rasa marah, rasa suka, rasa takut, rasa cemas, rasa sedih, rasa gembira, rasa senang, rasa meradang, rasa dendam, rasa sayang, rasa cinta, rasa simpati, rasa jijik, rasa dengki, rasa pelik, rasa lega dan sebagainya
Nafsunya peranannya berkehendak atau merangsang:
Tugas nafsu hanya merangsang dan berkehendak
Kehendaknya sama ada baik atau jahat, kehendaknya semulajadi sangat gelojoh,
rakus, tamak dan bakhil
Kemahuannya sangat luar biasa, tidak ada batasnya, macam laut tidak bertepi,
kalau hendak diikutkan badan boleh merana, terseksa dan binasa
Tugas akal lain pula, ia mempunyai peranan yang tersendiri
Akal hanya memikir, mengkaji, mencari ilmu, menerima maklumat dan pengalaman, kemudian menilai, menapis, menyimpan dan mengeluarkan,
Akal, I.Qnya pula ada enam kategori atau enam peringkat
eloklah diketahui oleh ibu bapa, guru-guru dan para pemimpin
Akal genius atau abqari, kekuatan berfikir yang luar biasa dan istimewa
mungkin 100 juta, seorang di dalam satu zaman
Akal ini mampu membuat teori, atau membuat penemuan-penemuan baru dikatakan membuat matan satu-satu ilmu
Selepas itu akal cerdik, boleh dan mampu menghurai teori-teori tadi atau matan hingga mudah difaham oleh ramai
Mungkin 10 juta, seorang sahaja yang mendapat I.Q ini
Sesudah itu I.Q cerdik biasa, boleh memahami sebahagian apa yang sudah dihurai
dan diperjelas jika seseorang itu diberi pelajaran yang cukup
Golongan ini agak ramai, ibu bapa dan guru-guru, para pemimpin juga
patut dapat menilai
Di bawah ini hanya I.Q biasa, tidak cerdik dan tidak pula bodoh,
itulah yang teramai di dunia ini
Di bawah ini ada lagi I.Q, iaitu yang bodoh dan yang dungu
tapi golongan ini tidak ramai bilangannya
I.Q ini tidak mampu mempelajari ilmu-ilmu yang dalam dan tinggi-tinggi
Kalau didorong pun tidak boleh pergi,
mungkin setakat darjah rendah sahaja atau sekolah dasar
Roh ada empat kategori pula, roh yang bercahaya, roh yang bersih, roh yang kabur dan roh yang hitam-legam
Setiap peringkat roh ini ada hubungan dengan sejauh mana baiknya dan jahatnya nafsu
Nafsu pula ada 7 peringkat:
Ammarah nafsu yang sangat jahat,
lawwamah nafsu yang lemah mujahadah, kerana itulah selalu sahaja mencerca dirinya
Mulhamah nafsu yang sudah mula terpimpin dan terdidik tapi belum kuat,
belum mendarah mendaging, masih di dalam kebimbangan lagi
itulah nafsu orang yang soleh
Nafsu mutmainnah, nafsu yang sudah tenang,
ia tidak dapat lagi digugat oleh kesenangan mahupun kesusahan,
sudah dapat darjat wali kecil
Nafsu Radhiah, nafsu yang sudah redha apa sahaja yang telah ditentukan
oleh Allah Taala sama ada senang mahupun susah
Nafsu Mardhiah, nafsu yang Tuhan pula redha,
Nafsu Kamilah kemuncak kebersihan nafsu,
ini hanya ada pada rasul-rasul dan para-para nabi sahaja
Jasad lahir ia hanya tentera-tentera atau pekerja-pekerja suruhan hati,
ia hanya taat semata-mata sama ada kepada kebaikan mahupun kejahatan
Jasad hanya perlu dijaga kesihatannya
Agar mampu melaksanakan arahan hati, raja di dalam diri
Jika ia sihat, ia akan cergas dan aktif serta tahan lasak melaksanakan kehendak raja diri iaitu kehendak hati
Oleh itu kesihatan badan kenalah juga diusahakan dan dijaga
Makanannya hendaklah diberi, zat-zat makanan yang boleh menjaga kesihatannya hendaklah diusahakan
Keempat-empat anasir di dalam diri manusia bekerjasama satu sama lain
jika ia hendak bertindak
Sama ada tindakannya itu baik mahupun jahat
Mula-mula hati atau roh (raja diri) merasa
Kemudian rasa itu dihantar kepada nafsu, maka nafsu pun berkehendak
atau merangsang untuk mahu bertindak
Selepas itu ia hantar pula kepada akal bagaimana hendak melaksanakan,
maka akal pula yang memikirkan
Sesudah ada keputusan dari akal, ia arahkan seluruh anggota bertindak,
untuk mendapatkannya
Jika Tuhan kehendaki berjaya, maka berjayalah,
jika Tuhan tidak mengkehendaki, maka gagallah
Itulah dia manusia dan bagaimana dia berperanan,
ketahuilah ilmu ini untuk pandai mendidik manusia
Selesailah sudah, maaf kalau salah
oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi